Saturday, April 25, 2009

HAKIKAT SEBENAR KEHIDUPAN...

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Apa yang saya kumpulkan adalah utamanya untuk memperingati diri saya sendiri kerana banyak yang saya nukilkan belum dapat saya amalkan, jadi mudah-mudahan dengan membaca berkali-kali lagi dan lagi Allah akan buka pintu hati saya untuk mengamalkannya dan menjadikan ia sebati dengan hidup saya.
Jika anda dapat ambil iktibar bersama, Alhamdulillah itu sesuatu yang baik…

Saya bukan ustaz atau orang alim, dan tidak layak mengajar ilmu kepada anda semua. Apa yang saya kumpulkan adalan himpunan nasihat dari orang-orang alim dan sekadar berkongsi bersama.
Apa yang baik boleh anda jadikan iktibar, jika ada salah-silap saya minta ampun dari Allah s.w.t dan bermohon kepadaNya supaya keburukan dari nukilan saya tidak menyebabkan seseorang menjadi semakin jauh dariNya.
Dan saya memohon juga kepadaNya agar saya tidak tergolong dalam mereka yang tidak beramal dengan apa yang diketahui di akhirat kelak...

Kehidupan di dunia
Nikmat-nikmat Allah
Iman
Sunnah
Solat
Ilmu
Hubungan dengan Allah
Memuliakan sesama saudara islam yang lain
Niat yang betul dalam segala perbuatan
Usaha Nabi
Menyelesaikan masalah dengan perantaraan amal
Peranan kaum wanita

Wednesday, April 22, 2009

KEHIDUPAN DI DUNIA

Kehidupan akhirat Allah jadikan berhubung rapat dengan kehidupan dunia ini.
Kenikmatan di syurga Allah sediakan sebagai ganjaran kepada perkara-perkara yang dilakukan di dunia ini yang mana ianya sukar dilakukan dan bertentangan dengan kehendak hawa nafsu.
Manakala kehidupan di neraka Allah sediakan sebagai balasan kepada perkara-perkara yang dilakukan di dunia ini yang mana ianya menyeronokkan dan sesuai dengan kehendak hawa nafsu.

Tuesday, April 21, 2009

NIKMAT-NIKMAT ALLAH

Bagaimana kita hendak mengira nikmat-nikmat Allah dalam kehidupan kita seharian. Ada beberapa cara kita boleh kaji:

1. Dalam tubuh manusia, dari hujung rambut hingga hujung kaki.
- Nikmat tangan untuk kita memegang sesuatu, makan dan menggerakkan sesuatu.
- Nikmat kaki untuk kita bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
- Nikmat mata untuk kita melihat keindahan alam, untuk kita mengenal wajah mereka yang kita kasihi dan rakan-rakan kita.

2. Dalam alam sekitar.
- Nikmat matahari untuk cahaya di waktu siang dan menumbuhkan tumbuhan yang indah dan boleh kita makan.
- Nikmat hujan untuk meredakan kehangatan dan kekeringan pada hari yang terik, dan untuk kesuburan tanah kepada tanaman.
- Nikmat lautan untuk kita mendengar deru ombak di pantai dan menikmati segala hasil hidupan di dalamnya termasuk ikan dan makanan-makanan laut yang lain.
- Nikmat tumbuh-tumbuhan dengan pelbagai rupa, rasa dan warna

3. Dalam kehidupan seharian.
- Nikmat berkeluarga
- Nikmat kemudahan dan keperluan
- Nikmat diciptakan sebagai manusia. Manusia diciptakan sebagai khalifah dimukabumi ini. Segala kebaikan yang dilakukan akan membawa menfaat kepada semua ciptaan Allah yang lain, dan segala keburukan dan keingkaran kepada Allah akan menyebabkan makhluk-makhluk lain juga terhindar dari rahmat Allah
- Nikmat mengamalkan agama (islam)
- Nikmat iman
- Nikmat dijadikan umat nabi Muhammad s.a.w kerana disamping menjalankan syariat nabi, umat ini diberi tanggung-jawab menyambung kerja nabi hingga tiba hari kiamat. Berbagai kelebihan Allah beri kepada umat nabi ini, tetapi berbagai musibah dan azab juga Allah akan beri jika umat ini meninggalkan kerja yang telah diamanatkan kepada mereka.

Dan sesungguhnya kalau hendak dihitung satu persatu nikmat Allah kepada kita memang tidak akan habis dihitung semuanya.

Sekiranya kita bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, maka Allah akan menambahkannya lagi. Sebaliknya jika kita tidak bersyukur maka apa yang kita ada akan ditarik-balik. Tanda syukur adalah dengan kita melaksanakan perintah-perintah Allah yang berkaitan dengan nikmat yang kita perolehi tadi.

Fitrah manusia adalah apabila diberi nikmat asbab-asbab di dunia ini (kemewahan, kesenangan, kerehatan, kegembiraan), maka dia akan mudah terjauh dengan Allah dan dari amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah (zikir, quran, solat dsb).

Di akhirat kelak akan ada 3 mahkamah – mahkamah pahala, mahkamah nikmat dan makhamah dosa. Pahala akan dikurangkan berdasar dengan nikmat yang diberi di dunia. Akhirnya barulah pahala dan dosa di timbang.

Monday, April 20, 2009

IMAN

Masalah dengan perkara akhirat adalah ianya tidak nampak, tidak boleh dibuktikan dan tidak diceritakan oleh mereka yang telah mengalaminya (mereka yang berada di alam barzakh). Panduan kita hanyalah apa yang digambarkan di dalam Quran dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Kita menjalani hidup penuh misteri, sedangkan kehidupan harian kita disadurkan dengan perkara-perkara asbab duniawi yang mana Allah telah beritahu sebagai perhiasan dan tipu-daya untuk menguji orang yang beriman. Sehingga kadang-kadang kita (terutamanya diri saya) sering tergelincir dan berfikiran seperti orang yang tidak beriman. Allah telah janji membereskan urusan keperluan seorang yang melaksanakan perintah Allah, tetapi kenapa saya selalu berkeluh-kesah bila apa yang saya usahakan tidak menjadi sedangkan mereka yang tidak beriman atau yang jahil tentang Allah sentiasa berjaya dalam apa yang mereka usahakan.

Iman hadir bila ada kebencian terhadap maksiat, atau kemunkaran, atau perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Kekuatan iman berbeza-beza sama ada dengan kekuatan untuk mencegah kemunkaran atau kemaksiatan dengan perbuatan, dengan percakapan, atau sekadar merasa benci di dalam hati. Jika tidak ada walaupun rasa benci dalam hati, apatah lagi jika melakukan kemunkaran atau maksiat tersebut, bermakna tercabutlah iman pada ketika itu (na’uzubillah). Dikhuatiri pada ketika dan saat itu, ajal menjelma dan meninggalkan kehidupan ini dalam keadaan kufur (na’uzubillah hi minzalik)

Keyakinan kepada keesaan Allah s.w.t adalah asas kepada kebaikan dan amalan, bermaksud keyakinan bahawa menfaat dan mudharat yang terhasil dari segala-galanya bukan dari benda atau perkara itu dengan sendirinya, tetapi adalah datang dari Allah dan dengan kehendak Allah.

Taqwa adalah perasaan takut kepada Allah walaupun bersunyi diri, dan Allah berjanji untuk mengeluarkan orang yang taqwa dari kesempitan dan kesusahan, dan memberikannya rezeki dari sumber-sumber yang bertentangan dengan akal.

Iman bukan datang dari mentelaah buku-buku agama, tetapi iman datang dengan banyak bercerita dan mendengar tentang kehebatan Allah, tentang alam ghaib yang Allah sediakan (alam kubur, titi sirat, padang mahsyar, syurga dan neraka), serta bantuan Allah kepada para nabi-nabi dan para sahabat nabi secara ghaib.

15 dalil iman yang ada pada diri para sahabat nabi:
1. penyaksian kalimah syahadah
2. menjaga solat
3. berpuasa
4. mengeluarkan zakat
5. menunaikan haji
6. beriman kepada Allah
7. Beriman kepada rasul-rasul
8. beriman kepada malaikat
9. beriman dengan qada dan qadar Allah
10. beriman dengan hari kiamat
11. tidak takut pada musuh
12. redha dengan ketetapan Allah
13. memuliakan tetamu
14. suka memberi makan
15. istiqamah

Percakapan untuk menaikkan iman:
1. Kudrat dan kekuasaan Allah
- Allah menghidup dan mematikan
- Allah memberi menfaat dan mudharat
- Allah maha mengetahui
- Allah maha bijaksana dll

2. Alam ghaib – kubur, mahsyar, titi sirat, syurga dan neraka

3. Bantuan Allah kepada para nabi secara ghaib

4. Bantuan Allah kepada para sahabat secara ghaib

Iman adalah seperti pakaian. Mulanya seperti baru, bila lama dipakai maka ia semakin pudar dan lusuh hingga akhirnya tidak boleh memberi menfaat lagi, hanya dijadikan sekadar kain buruk. Iman yang tinggi akan datang bila kita bercakap atau mendengar tentang kehebatan Allah, kekuasaan Allah dan pertolongan ghaib yang datang dari Allah, tetapi ia tidak akan kekal lama. Setelah beberapa ketika bila tiada usaha dibuat ke atasnya ia akan turun dan lemah hingga dikhuatiri akan hilang hingga menjadikan kita kufur dengan Allah (na’uzubillah…)

Iman perlu diusahakan sekuat-kuatnya sehingga ia tidak terkesan dengan suasana dan keadaan disekelilingnya. Tanda iman yang teguh adalah bersyukur dalam nikmat dan bersabar dalam kesusahan. Kekuatan iman akan membawa kepada peningkatan pengorbanan seseorang.

Cuba bayangkan kita sedang duduk bersama keluarga, rakan-rakan atau dalam satu perhimpunan. Jika kita ingin memulakan satu topik tentang satu isu semasa dalam akhbar, atau menceritakan bagaimana pasukan bola kita boleh menang dalam perlawanan malam tadi, atau berbincang masalah yang kita hadapi dalam kuliah, pejabat atau kawasan kita, adakah ia sukar dimulakan? Ada tak sesiapa yang rasa janggal untuk diperbincangkan atau sekadar mendengar?
Tapi bayangkan kalau kita memulakan topik membicarakan kebesaran, kehebatan dan kekuasaan Allah? Sama ada kita akan merasa kurang selesa untuk melihat reaksi orang lain atau para pendengar mungkin merasa janggal dan gelisah mendengarnya?

Hati kita ini diumpamakan sebuah bekas. Sama ada ia dipenuhi dengan rasa kebesaran dan kehebatan Allah, atau ia dipenuhi dengan rasa kehebatan makhluk ciptaan Allah, dan ia tidak boleh diisi dengan kedua-duanya sekali. Bila kita tidak usaha untuk mengisinya dengan kebesaran Allah, secara otomatik ia akan diisi dengan kebesaran benda-benda selain Allah termasuk wang-ringgit, harta-benda, rupa-paras dan macam-macam lagi. Yang kita takuti apabila kita merasa Allah dan benda-benda selain Allah itu besar, kerana itu sudah menjadi syirik!

Doa yang makbul iaitu diterima oleh Allah adalalah doa yang kosong dari kesan dan kecintaan kepada apa-apa sahaja selain Allah

Iman tidak boleh dilihat, tetapi ia boleh diukur dengan perbuatan kita. Tanda iman adalah gembira apabila melakukan kebaikan dan sedih apabila melakukan maksiat atau dosa. Contohnya bila kita sedang sibuk dengan kerja kita dan tiba-tiba terdengar laungan azan, adakah kita akan terus berhenti dan bersiap untuk melaksanakan perintah Allah iatu solat pada waktu itu, atau kita akan teruskan kerja kita dan berhenti untuk solat selepas selesai kerja kita, atau kita teruskan kerja kita dan tidak terlintas untuk bersolat langsung?

Bila iman kita kuat, maka amal kita akan ada roh atau kesan. Amal yang ada roh akan mendatangkan kelazatan dan nikmat kepada orang yang mengerjakannya. Sebagaimana para sahabat nabi mereka boleh solat 2 rakaat semalam-malaman tanpa sedar apa yang belaku di dunia ini, kerana amalan mereka ada roh.

Seorang tidak merasakan perlu kepada ubat-ubatan semasa dia sihat. Seorang kaya tidak merasakan perlu kepada wang berbanding dengan seorang yang miskin. Dan seorang manusia tidak merasa nilai iman melainkan apabila nyawanya telah hampir meninggalkan jasadnya. Ketika itu setiap manusia akan melihat hasil usahanya di dunia ini menjelang waktu dia berada di ambang alam akhirat yang bermula dengan kematian. Di kala itu dia akan merasa berapa kurangnya usaha yang telah dia buat untuk kehidupan akhiratnya. Di kala itu dia akan merasa berapa kesalnya dia membiarkan masanya berlalu dengan sia-sia tanpa hasil untuk kehidupan akhiratnya. Di kala itu dia merasa betapa malangnya dia kerana bertangguh dan urusan yang membawa kepada kejayaan kehidupan akhirat.

Tetapi sayang seribu... malah sejuta... kali sayang, kerana masa telah tamat. Terlajak kereta boleh diundur. Terlajak kata boleh diperbetulkan. Tetapi terlajak kehidupan ini tidak boleh diperbaiki setelah ajal tiba. Setelah segala hijab tentang kehidupan sementara ini diangkat dan hakikat sebenar kehidupan dipertunjukkan, maka pada saat itu seorang akan merasa berharganya iman di dunia ini. Betapa bernilainya yakin kepada benda-benda ghaib termasuk kekuasaan Allah dan kehidupan akhirat. Namun tidak ada patah-balik lagi, kita hanya akan berbekalkan dengan iman dan amal yang kita bawa, yang kita perlecehkan, yang kita tangguh-tangguhkan, yang kita sia-siakan selama kehidupan di dunia. Pada masa itu baru kita rasa bernilainya sebutir Subhanallah yang kita ucapkan di dunia ini, betapa bernilainya satu Istighfar yang kita lafazkan, dan betapa bernilainya sesaat yang berlalu di alam dunia ini. Tetapi malangnya, tempoh kita sudah berakhir...

Tanda yakin dengan kekuasaan Allah adalah dengan kita yakin bahawa jika saya melaksanakan segala perintah Allah, Dia akan berikan saya kejayaan, kesenangan dan kebaikan. Jika tidak kita akan yakin bahawa semua ini ada dalam asbab-asbab duniawi. Contohnya saya akan senang kalau ada wang yang banyak. Saya akan gembira kalau saya berjaya dalam perniagaan saya dan lain-lain lagi. Bukan maksudnya kita tidak payah bekerja atau berniaga. Bekerja atau berniaga juga adalah antara perintah-perintah Allah, dan kita laksanakannya kerana ia perintah Allah dan untuk melaksanakannya mengikut kehendak Allah. Dan jangan pula kerana pekerjaan dan perniagaan kita, kita meninggalkan perintah-perintah Allah yang lain.

Allah tidak janjikan kejayaan di dalam asbab seperti pekerjaan, perniagaan, kekuasaan, kekayaan atau kekuatan. Tetapi janji kejayaan Allah beri dalam melaksanakan perintah-perintah Allah. Para sahabat radiallahuanhum telah sampai ke tahap ini dan kita telah lihat bukti dalam kitab sejarah seperti dalam Hayatussahabah.

Tindakan yang perlu dari kita sekarang ini adalah memperbetulkan iman kita dengan buat usaha ke arah menaikkan dam memperbaharui iman kita di samping melaksanakan perintah-perintah Allah dan berterusan dengannya dengan keyakinan bahawa janji kejayaan dari Allah ada di dalam melaksanakannya.

Sunday, April 19, 2009

SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Syariat dan sunnah Nabi ada dalam bahagian-bahagian kehidupan agama:
· Ibadah
· Akhlak
· Muasyarah (hubungan sesama manusia)
· Muammalah (perniagaan)

Akhlak bermaksud amalan baik yang dilakukan bukan untuk mendapat ganjaran di dunia dari sesiapa, tetapi adalah semata-mata kerana Allah dan untuk mendapat ganjaran dari siniNya

Muasyarat adalah cara hidup berkeluarga, cara makan, cara tidur, cara berpakaian yang dijelaskan di dalam Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu hayatul muslimin

Muamalat adalah perhubungan antara majikan-pekerja, hakim-mahkum, peniaga-pembeli dn lain-lain lagi

Sunnah nabi merangkumi sunnah ibadat Nabi s.a.w, sunnah adat kehidupan seharian, dan sunnah dalam melaksanakan kerja kenabian

Kita perlu kaji dan tahu apakah kehidupan nabi, cara makan dan minum, cara berpakaian, cara nikah-kahwin nabi dsb.

Pengorbanan yang paling besar di akhir zaman ini adalah untuk mengamalkan sunnah Nabi s.a.w

Apa yang membezakan rupa seorang islam berbanding dengan orang kafir adalah sunnah nabi s.a.w

Saturday, April 18, 2009

SOLAT

Solat adalah latihan untuk kita gunakan mata, telinga, hidung, kaki dan tangan kita mengikut cara yang betul dan latihan untuk hati kita ada tumpuan dan takut kepada Allah

Kita kena usahakan sehingga solat kita dapat mencegah fasya’ dan munkar. Jika kita masih mengerjakan maksiat walaupun kita bersolat, kita kena periksa kelemahan solat kita

Solat adalah rangkuman ibadat-ibadat lain termasuk tasbihat, Quran, doa, selawat, istighfar, tahyat, takbir, tahmid dll.

Jika solat rosak, maka amalan-amalan lain juga akan terkesan.

Kta perlu berlatih untuk memperbaiki solat kita, pertama dengan memperbaiki zahirnya (rukuk, sujud, tama’ninah dll) dan kedua memperbaiki tawajjuh untuk mengingati Allah dalam solat.

Janji Allah untuk mereka yang memakmurkan masjid:
1. Terlepas kesusahan & penderitaan hidup di dunia
2. Allah redha dengan mereka
3. Rahmat diturunkan ke atas mereka
4. Lintas titi sirat sepantas kilat
5. Masuk syurga

Friday, April 17, 2009

ILMU

Kita perlu tahu setiap perkara yang halal dan haram dalam apa jua masa dan keadaan dalam hidup kita, contohnya dalam pekerjaan, perniagaan,kesenangan, kesusahan. Maksudnya kita perlu tahu apakah perintah Allah dan larangan Allah pada masa dan keadaan itu, dan bagaimana cara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w untuk kita kerjakannya.

Matlamat ilmu bukan pengetahuan, tetapi untuk diamalkan dan membuahkan ketaatan kepada Allah.

Ilmu adalah mengetahui apakah kehendak Allah terhadap diri saya pada setiap masa dan keadaan.
Ilmu untuk mengetahui apakah kehendak makhluk terhadap diri saya itu adalah ilmu kemahiran (kedoktoran, kejuteraan, dll)

Untuk membawa ibadat, muamalat, muasyarat dan akhlak kita di atas landasan ilmu, kita perlu eratkan diri dengan alim ulamak dengan menghadiri majlis-majlis mereka dan merujuk kepada mereka. Kita perlu bentangkan urusan dunia kita termasuk pencarian kita, cara pencarian kita dan cara hidup kita kepada ulamak dan mendapatkan nasihat dari mereka.

Thursday, April 16, 2009

HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Tanda-tanda ujud hubungan kita dengan Allah:
- Dalam setiap keadaan kita menuju kepada Allah tanpa terkesan dengan asbab-asbab dunia
- Meletakkan perintah Allah dalam setiap masa dan keadaan, bukan hawa nafsu atau adat kebiasaan

Wednesday, April 15, 2009

MEMULIAKAN SESAMA SAUDARA ISLAM YANG LAIN

Memuliakan sesama islam bukan terhad kepada mereka yang kita kenal sahaja, tetapi semua orang yang ada iman dalam diri mereka. Salah satu tanda kiamat adalah apabila seseorang memberi salam hanya kepada mereka yang dikenali sahaja.

Seorang islam yang makan dari sumber yang halal dengan kenyang sedangkan saudara islam yang berjiran dengannya dalam kelaparan, di akhirat kelak dia akan digolongkan dalam golongan orang yang zalim.
Begitu juga dengan seorang yang beribadat tanpa memperdulikan orang lain.

Tuesday, April 14, 2009

NIAT YANG BETUL DALAM SEGALA PERBUATAN

Ini adalah perkara yang sangat halus, sehingga malaikat pun tidak dapat mengenal yang mana amalan yang ikhlas. Hanya Allah sahaja yang dapat menentukan amalan yang ikhlas semata-mata keranaNya.

Tidak ada panduan khas untuk mempastikan sesuatu amalan itu benar-benar ikhlas.
Kita hanya sekadar dapat memeriksa niat kita dalam mengerjakan amalan berkali-kali dan minta agar Allah terima amalan kita sebagai ikhlas.

Sunday, April 12, 2009

USAHA NABI S.A.W

Segala usaha berpusat di masjid pada zaman Nabi s.a.w

Tidak ada nabi lagi akan diutuskan, tetapi kerja kenabian akan berterusan hingga berlakunya hari kiamat.
Siapa yang akan menyambung kerja dan usaha nabi s.a.w? Tak lain dan tak bukan semua manusia yang bergelar umat akhir zaman yang merupakan umat nabi s.a.w

Sifat-sifat ini perlu dibentuk dalam diri agar dapat menjalankan usaha nabi dengan sempurna
- Mengetahui ilmu berkenaan zat, kudrat dan sifat Allah s.w.t
- Yakin akan kudrat dan kekuasaan Allah, bukan pada bibir sahaja tetapi juga dalam hati dan zahir pada amalan
- Menjaga solat 5 waktu dengan berjemaah di tempat azan diazankan
- Mengutamakan hak orang lain lebih dari diri sendiri

Sifat-sifat ini tidak datang dengan sendiri, tetapi akan datang bila kita letakkan diri kita dalam suasana pengorbanan, dengan melapangkan masa keluar dari tempat kita bersama mereka yang menjalankan usaha nabi dan berdampingan dengan mereka yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup mereka dalam memikirkan dan melaksanakan usaha yang telah dijalankan oleh nabi dan para sahabatnya dahulu.

Antara sebab seseorang buat dan tinggal usaha ini mengikut keadaan masing-masing adalah kerana kita belum buat keputusan ini adalah kerja saya. Bekerja, berniaga, bertani dll adalah untuk menunaikan keperluan harian saya, tetapi usaha Nabi s.a.w adalah satu-satunya kerja saya.

Matlamat usaha adalah supaya agama dapat disempurnakan di dalam rumah-rumah dan penghuninya termasuk kaum wanita dan kanak-kanak, dan supaya agama akan disempurnakan di dalam semua rumah-rumah orang Islam bukan sahaja dalam sesuatu qariah, malah di seluruh alam.

Untuk melaksanakan usaha ini dengan baik, perlu ada hubungan yang baik dengan Allah, di samping menjaga hubungan sesama manusia.

Dengan buat usaha tempatan iman akan meningkat, tetapi kena buat dengan cara yang betul.

Apakah usaha yang perlu dilaksanakan di masjid (atau surau, musolla dsb) dalam sesuatu kawasan dengan kadar harian, mingguan dan bulanan:
1. Setiap hari ada orang yang berfikir dengan kerisauan bagaimana usaha dapat dijalankan di kawasan itu supaya mesej kepentingan agama dan usaha ke atasnya dapat disampaikan kepada setiap orang lelaki baligh di kawasan itu dan kepentingan menghidupkan amalan agama dapat sampai ke setiap rumah-rumah orang islam, dan dengan fikir alami bagaimana mesej yang sama akan dapat sampai ke seluruh mukabumi Allah ini.

2. Setiap hari ada orang yang memberi masa sekurang-kurangnya 10% dari masa setiap hari (lebih kurang 2½ jam) untuk berjumpa dengan penduduk Islam di kawasan tersebut dengan matlamat untuk menyampaikan maklumat #1 di atas.

3. Setiap hari ada majlis membacakan hadis dan peringatan dalam bentuk kelebihan dan kisah-kisah para sahabat radiallahuanhum (mereka yang merupakan manusia seperti kita hari ini yang bersama Nabi s.a.w, dan telah dijamin kejayaan di akhirat semasa berada di dunia ini lagi) yang di adakan di masjid (atau surau dll) dan di rumah-rumah (bersama kaum wanita dan kanak-kanak)

4. Setiap minggu ada dua usaha yang dibuat, satu di kawasan sendiri dan satu lagi di kawasan berhampiran. Usaha tersebut bermula dengan berkumpul di masjid (atau surau dll); diikuti dengan ziarah ke setiap rumah orang islam di kawasan itu (secara bergilir-gilir sehingga semua rumah dapat dikunjungi) untuk menghidupkan suasana berjumpa kerana Allah dan bercakap serta mendengar tentang kebesaran / kekuasaan / kehebatan Allah dan berita-berita tentang alam akhirat; dan berakhir dengan majlis fikir di masjid tentang pentingnya memberi masa untuk usaha nabi s.a.w.

5. Setiap bulan ada kumpulan dari kawasan tersebut untuk memberi masa berhijrah ke kawasan berdekatan yang lain untuk menghidupkan suasana #1 hingga #4 di atas, dengan matlamat utama sebagai latihan apabila pulang ke tempat asal, di samping menghidupkan suasana yang sama di tempat-tempat lain.

Apakah syarat-syarat dalam menjalankan usaha ini dengan sempurna dan betul:
- Sentiasa dengan niat belajar, kerana yang pakar dalam usaha ini adalah Nabi s.a.w dan mereka yang telah bersama baginda iaitu para sahabat. Dengan niat belajar, Allah akan menunjukkan kita jalan yang betul dalam melaksanakan tanggung-jawab ini

- Sentiasa buat usaha dengan kasih-sayang dan hormat-menghormati dengan mereka yang memberi masa untuk usaha ini, kerana usaha ini bukan ada gaji, elaun, komisyen atau ganjaran material, tetapi adalah semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah dan mencari keredhaanNya.

- Patuh kepada orang bertanggung-jawab (yang dilantik melalui mesyuarat cara nabi s.a.w) untuk mengendalikan ehwal jemaah pada masa tertentu

- Melibatkan semua penduduk kawasan yang turut bersolat jemaah di masjid (atau surau dll), kerana ini bukan tugas satu kelompok sahaja, tetapi semua umat Nabi s.a.w

- Buat dengan penuh tawajjuh kepada Allah, bukan dengan yakin bahawa dengan usaha kita manusia akan dekat dengan Allah. Hidayat adalah hak mutlak Allah s.w.t dan hasil dari usaha kita hanya Dia yang akan menentukan. Janji hidayat dengan usaha atas agama adalah pasti, tetapi siapa yang mendapat hidayat melalui usaha kita adalah ketentuan Allah semata-mata. Siang hari usaha bersungguh-sungguh seolah-olah kita yang menentukan siapa yang akan mendapat hidayat, tetapi malam hari perlu bangun mengadap dan merayu kepada Allah s.w.t supaya Dia beri hidayat kepada semua orang yang kita jumpa dan usahakan pada hari itu.

- Perlu mengikut tunjuk-ajar dan nasihat mereka yang telah bertahun-tahun mengabdikan diri untuk kerja ini tanpa penat-lelah dan mendapat habuan keduniaan, semata-mata mencari keredhaan Allah, dari masa ke semasa.

- Sentiasa buat usaha dengan rasa syukur dan rendah-diri bahawa pilihan untuk membuat usaha ini adalah satu nikmat dari Allah, bukan kerana kebolehan atau kehebatan diri sendiri, dan sentiasa memohon supaya Dia mengekalkan kita dalam melaksanakannya hingga ke nafas yang terakhir.

- Tidak mengabaikan amalan persendirian seperti zikir harian, solat sunat dan bacaan Quran kerana ia mempengaruhi hubungan kita dengan Allah swt.

- Menangguhkan urusan persendirian (diri, keluarga, keperluan) apabila tiba masa untuk melaksanakan usaha ini, kerana tanggung-jawab yang Allah beri ini jauh lebih penting dan utama dari segala urusan berkaitan hal keduniaan kita.

Sebagaimana kita perlu jalankan usaha sebegini, ada kalanya terdapat sekumpulan mereka dari tempat, negeri atau negara lain yang berkunjung ke masjid kita (atau surau dll), kita perlu memberi masa bersama mereka dan mengambil-tahu hal-ehwal mereka supaya kerja ini dapat dilakukan dengan sempurna bersama mereka.

Saturday, April 11, 2009

PENYELESAIAN MASALAH DENGAN PERANTARAAN AMAL

Untuk orang Islam, Allah berikan keistimewaan untuk menyelesaikan masalah melalui perantaraan iman dan amal. Kerana kelemahan kita hari ini, kita telah mencari asbab terlebih dahulu bila berdepan dengan masalah. Bila kita sakit kita akan cari ubat terlebih dahulu. Bila sudah putus asa baru kita minta bantuan dari Allah. Akhirnya pemikiran kita sama seperti mereka yang tidak beriman.

Khazanah Allah terlalu luas, sehingga sekiranya Allah tunaikan hajat setiap manusia dan makhluk-makhluk yang lain secara serentak, maka khazanahNya masih tidak luak walau sedikitpun.

Apabila kita putus asa dengan janji-janji Allah, maka pertolongan Allah tidak akan sampai kepada kita seperti yang dijanjikan.

Allah telah beri kita cara untuk menyelesaikan masalah kita terus melaluinya dengan syarat kita yakin sepenuhnya akan kekuasaanNya. Antaranya:
- Membaca surah Waqiah antara maghrib dan isyak – Allah selamatkan daripada kebuluran
- Seorang yang tidak makan selama satu hari tanpa mengadu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain, Allah akan memberinya rezeki dari sumber yang halal selama setahun
- Sifat taqwa (takut kepada Allah) – Allah mengeluarkan dari kesusahan dan memberi rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka
- Sifat tawakkal – cukuplah Allah menjadi penyelesai bagi masalah-masalahnya
- Solat – sumber penyelesai masalah
- Sedekah – sumber rezeki
- Haji – sumber rezeki

Apabila menghadapi kesusahan (penyakit atau musibah), ada para sahabat yang mengadu kepada nabi saw. Nabi akan bertanya kepada mereka sama ada mereka mahu baginda mendoakan supaya Allah menghapuskan penyakit atau musibah mereka, atau mereka hendak terus bersabar dengan ujian yang Allah beri kepada mereka sehingga selesai ujian tersebut dan mendapat keampunan dari Allah.

Setiap kesusahan dan kesempitan yang di alami oleh orang yang beriman akan mendatangkan ganjaran yang besar dalam membina kehidupan akhirat mereka dengan syarat mereka tetap tabah dan sabar dalam menjalani ujian tersebut sehingga Allah buat keputusan menghilang masalah atau musibah tersebut.

Setiap asbab di dunia ini adalah perhiasan dan ujian bagi orang beriman, sama ada mereka berjaya melaksanakan perintah Allah yang dituntut melaluinya. Tidak ada perbezaan dalam kemiskinan atau kekayaan, kecantikan atau kejelekan, kejayaan atau kegagalan, kesusahan atau kesenangan, kelapangan atau kesempitan dsb bagi seorang beriman, apa yang dirisaukan adalah bagaimana melaksanakan perintah Allah yang dituntut dalam sesuatu keadaan yang sedemikian.

Dengan melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya, kita akan mendapat keberkatan dalam hidup. Ukuran keberkatan bukan kadar jumlah (kuantiti) hasil usaha kita untuk keperluan dunia kita, tetapi kesan dalam menyelesaikan masalah kita.

Kita perlu sentiasa letakkan dalam diri kita bahawa keberkatan, kemenangan dan kejayaan dunia bukanlah matlamat kita yang sebenar, tetapi adalah untuk mendapat keredhaan Allah ke atas sepanjang kehidupan kita di dalam dunia ini.

Kita seringkali menyempitkan keupayaan Allah melalui doa kita untuk meminta pertolongan Allah dengan perantaraan asbab (usaha, pekerjaan, perniagaan dll) yang kita kerjakan. Allah berkuasa untuk menolong kita dengan apa cara sekalipun di luar jangkaan pemikiran kita yang cetek dan jahil.

Untuk doa yang makbul kita kena prihatin dengan pencarian hidup kita, termasuk setiap suapan ke mulut kita. Makanan dari sumber yang haram akan merosakkan badan kita dengan lahirnya sifat-sifat khianat, mungkir janji, suka mengumpat dll.

Taqwa adalah asas dalam urusan pencarian hidup, kerana melaluinya Allah akan:
- membuka jalan untuk selamat dari perkara yang haram
- memberi rezeki dari jalan yang berlawanan dengan akal
- mempermudahkan urusannya dalam mencari pencarian hidup

Friday, April 10, 2009

PERANAN KAUM WANITA

Sebagaimana kaum lelaki ke masjid dan menghidupkan amalan seperti di zaman nabi di sana, kaum wanita perlu menghidupkan suasana agama di rumah melalui amalan ibadah solat, zikir, membaca Quran dan sebagainya. Para ibu perlu mengusahakan bagaimana anak-anak yang berusia 10 tahun telah pandai menunaikan solat, membaca Quran dan berzikir. Di rumah ada suasana akhlak, kasih-sayang dan bersederhana dalam urusan makan-minum dan keperluan yang lain.

Untuk menghidupkan suasana sebegini, ada beberapa amalan yang boleh dihidupkan di rumah:

1. Majlis membacakan hadis dan peringatan dalam bentuk kelebihan dan kisah-kisah para sahabat radiallahuanhum (mereka yang merupakan manusia seperti kita hari ini yang bersama Nabi s.a.w, dan telah dijamin kejayaan di akhirat semasa berada di dunia ini lagi) bersama anak-anak

2. Maljis bercakap dan mendengar perihal sifat-sifat unggul para sahabat nabi yang membolehkan mereka dijamin kejayaan di akhirat semasa berada di dalam dunia lagi iaitu sifat-sifat:
- Yakin akan kekuasaan Allah dan menafikan kekuasaan yang ada pada perkara-perkara selain Allah
- Membawa sunnah kehidupan nabi s.a.w dalam kehidupan mereka
- Menjaga solat
- Mengetahui ilmu yang Allah kehendaki mereka tahu
- Sentiasa dalam keadaan berhubungan dengan Allah
- Mendahului kepentingan orang lain lebih dari diri sendiri
- Melaksanakan atau meninggalkan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah
- Memberi masa untuk menjalankan usaha nabi s.a.w

Percakapan tentang sifat-sifat ini akan diulang secara bergilir-gilir oleh setiap orang di rumah termasuk kanak-kanak dengan matlamat semua orang faham maksudnya dan bersemangat untuk membawanya dalam kehidupan masing-masing

3. Memperbanyakkan percakapan dan perbincangan hal agama di rumah, sehingga mengesankan wanita lain yang berkunjung ke rumah itu untuk mendengar percakapan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah serta kisah para nabi-nabi dan para sahabat. Anak-anak juga diajar untuk menjadikan percakapan tentang agama satu kebiasaan bersama rakan-rakan mereka Wallahua’lam...