Monday, April 20, 2009

IMAN

Masalah dengan perkara akhirat adalah ianya tidak nampak, tidak boleh dibuktikan dan tidak diceritakan oleh mereka yang telah mengalaminya (mereka yang berada di alam barzakh). Panduan kita hanyalah apa yang digambarkan di dalam Quran dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Kita menjalani hidup penuh misteri, sedangkan kehidupan harian kita disadurkan dengan perkara-perkara asbab duniawi yang mana Allah telah beritahu sebagai perhiasan dan tipu-daya untuk menguji orang yang beriman. Sehingga kadang-kadang kita (terutamanya diri saya) sering tergelincir dan berfikiran seperti orang yang tidak beriman. Allah telah janji membereskan urusan keperluan seorang yang melaksanakan perintah Allah, tetapi kenapa saya selalu berkeluh-kesah bila apa yang saya usahakan tidak menjadi sedangkan mereka yang tidak beriman atau yang jahil tentang Allah sentiasa berjaya dalam apa yang mereka usahakan.

Iman hadir bila ada kebencian terhadap maksiat, atau kemunkaran, atau perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Kekuatan iman berbeza-beza sama ada dengan kekuatan untuk mencegah kemunkaran atau kemaksiatan dengan perbuatan, dengan percakapan, atau sekadar merasa benci di dalam hati. Jika tidak ada walaupun rasa benci dalam hati, apatah lagi jika melakukan kemunkaran atau maksiat tersebut, bermakna tercabutlah iman pada ketika itu (na’uzubillah). Dikhuatiri pada ketika dan saat itu, ajal menjelma dan meninggalkan kehidupan ini dalam keadaan kufur (na’uzubillah hi minzalik)

Keyakinan kepada keesaan Allah s.w.t adalah asas kepada kebaikan dan amalan, bermaksud keyakinan bahawa menfaat dan mudharat yang terhasil dari segala-galanya bukan dari benda atau perkara itu dengan sendirinya, tetapi adalah datang dari Allah dan dengan kehendak Allah.

Taqwa adalah perasaan takut kepada Allah walaupun bersunyi diri, dan Allah berjanji untuk mengeluarkan orang yang taqwa dari kesempitan dan kesusahan, dan memberikannya rezeki dari sumber-sumber yang bertentangan dengan akal.

Iman bukan datang dari mentelaah buku-buku agama, tetapi iman datang dengan banyak bercerita dan mendengar tentang kehebatan Allah, tentang alam ghaib yang Allah sediakan (alam kubur, titi sirat, padang mahsyar, syurga dan neraka), serta bantuan Allah kepada para nabi-nabi dan para sahabat nabi secara ghaib.

15 dalil iman yang ada pada diri para sahabat nabi:
1. penyaksian kalimah syahadah
2. menjaga solat
3. berpuasa
4. mengeluarkan zakat
5. menunaikan haji
6. beriman kepada Allah
7. Beriman kepada rasul-rasul
8. beriman kepada malaikat
9. beriman dengan qada dan qadar Allah
10. beriman dengan hari kiamat
11. tidak takut pada musuh
12. redha dengan ketetapan Allah
13. memuliakan tetamu
14. suka memberi makan
15. istiqamah

Percakapan untuk menaikkan iman:
1. Kudrat dan kekuasaan Allah
- Allah menghidup dan mematikan
- Allah memberi menfaat dan mudharat
- Allah maha mengetahui
- Allah maha bijaksana dll

2. Alam ghaib – kubur, mahsyar, titi sirat, syurga dan neraka

3. Bantuan Allah kepada para nabi secara ghaib

4. Bantuan Allah kepada para sahabat secara ghaib

Iman adalah seperti pakaian. Mulanya seperti baru, bila lama dipakai maka ia semakin pudar dan lusuh hingga akhirnya tidak boleh memberi menfaat lagi, hanya dijadikan sekadar kain buruk. Iman yang tinggi akan datang bila kita bercakap atau mendengar tentang kehebatan Allah, kekuasaan Allah dan pertolongan ghaib yang datang dari Allah, tetapi ia tidak akan kekal lama. Setelah beberapa ketika bila tiada usaha dibuat ke atasnya ia akan turun dan lemah hingga dikhuatiri akan hilang hingga menjadikan kita kufur dengan Allah (na’uzubillah…)

Iman perlu diusahakan sekuat-kuatnya sehingga ia tidak terkesan dengan suasana dan keadaan disekelilingnya. Tanda iman yang teguh adalah bersyukur dalam nikmat dan bersabar dalam kesusahan. Kekuatan iman akan membawa kepada peningkatan pengorbanan seseorang.

Cuba bayangkan kita sedang duduk bersama keluarga, rakan-rakan atau dalam satu perhimpunan. Jika kita ingin memulakan satu topik tentang satu isu semasa dalam akhbar, atau menceritakan bagaimana pasukan bola kita boleh menang dalam perlawanan malam tadi, atau berbincang masalah yang kita hadapi dalam kuliah, pejabat atau kawasan kita, adakah ia sukar dimulakan? Ada tak sesiapa yang rasa janggal untuk diperbincangkan atau sekadar mendengar?
Tapi bayangkan kalau kita memulakan topik membicarakan kebesaran, kehebatan dan kekuasaan Allah? Sama ada kita akan merasa kurang selesa untuk melihat reaksi orang lain atau para pendengar mungkin merasa janggal dan gelisah mendengarnya?

Hati kita ini diumpamakan sebuah bekas. Sama ada ia dipenuhi dengan rasa kebesaran dan kehebatan Allah, atau ia dipenuhi dengan rasa kehebatan makhluk ciptaan Allah, dan ia tidak boleh diisi dengan kedua-duanya sekali. Bila kita tidak usaha untuk mengisinya dengan kebesaran Allah, secara otomatik ia akan diisi dengan kebesaran benda-benda selain Allah termasuk wang-ringgit, harta-benda, rupa-paras dan macam-macam lagi. Yang kita takuti apabila kita merasa Allah dan benda-benda selain Allah itu besar, kerana itu sudah menjadi syirik!

Doa yang makbul iaitu diterima oleh Allah adalalah doa yang kosong dari kesan dan kecintaan kepada apa-apa sahaja selain Allah

Iman tidak boleh dilihat, tetapi ia boleh diukur dengan perbuatan kita. Tanda iman adalah gembira apabila melakukan kebaikan dan sedih apabila melakukan maksiat atau dosa. Contohnya bila kita sedang sibuk dengan kerja kita dan tiba-tiba terdengar laungan azan, adakah kita akan terus berhenti dan bersiap untuk melaksanakan perintah Allah iatu solat pada waktu itu, atau kita akan teruskan kerja kita dan berhenti untuk solat selepas selesai kerja kita, atau kita teruskan kerja kita dan tidak terlintas untuk bersolat langsung?

Bila iman kita kuat, maka amal kita akan ada roh atau kesan. Amal yang ada roh akan mendatangkan kelazatan dan nikmat kepada orang yang mengerjakannya. Sebagaimana para sahabat nabi mereka boleh solat 2 rakaat semalam-malaman tanpa sedar apa yang belaku di dunia ini, kerana amalan mereka ada roh.

Seorang tidak merasakan perlu kepada ubat-ubatan semasa dia sihat. Seorang kaya tidak merasakan perlu kepada wang berbanding dengan seorang yang miskin. Dan seorang manusia tidak merasa nilai iman melainkan apabila nyawanya telah hampir meninggalkan jasadnya. Ketika itu setiap manusia akan melihat hasil usahanya di dunia ini menjelang waktu dia berada di ambang alam akhirat yang bermula dengan kematian. Di kala itu dia akan merasa berapa kurangnya usaha yang telah dia buat untuk kehidupan akhiratnya. Di kala itu dia akan merasa berapa kesalnya dia membiarkan masanya berlalu dengan sia-sia tanpa hasil untuk kehidupan akhiratnya. Di kala itu dia merasa betapa malangnya dia kerana bertangguh dan urusan yang membawa kepada kejayaan kehidupan akhirat.

Tetapi sayang seribu... malah sejuta... kali sayang, kerana masa telah tamat. Terlajak kereta boleh diundur. Terlajak kata boleh diperbetulkan. Tetapi terlajak kehidupan ini tidak boleh diperbaiki setelah ajal tiba. Setelah segala hijab tentang kehidupan sementara ini diangkat dan hakikat sebenar kehidupan dipertunjukkan, maka pada saat itu seorang akan merasa berharganya iman di dunia ini. Betapa bernilainya yakin kepada benda-benda ghaib termasuk kekuasaan Allah dan kehidupan akhirat. Namun tidak ada patah-balik lagi, kita hanya akan berbekalkan dengan iman dan amal yang kita bawa, yang kita perlecehkan, yang kita tangguh-tangguhkan, yang kita sia-siakan selama kehidupan di dunia. Pada masa itu baru kita rasa bernilainya sebutir Subhanallah yang kita ucapkan di dunia ini, betapa bernilainya satu Istighfar yang kita lafazkan, dan betapa bernilainya sesaat yang berlalu di alam dunia ini. Tetapi malangnya, tempoh kita sudah berakhir...

Tanda yakin dengan kekuasaan Allah adalah dengan kita yakin bahawa jika saya melaksanakan segala perintah Allah, Dia akan berikan saya kejayaan, kesenangan dan kebaikan. Jika tidak kita akan yakin bahawa semua ini ada dalam asbab-asbab duniawi. Contohnya saya akan senang kalau ada wang yang banyak. Saya akan gembira kalau saya berjaya dalam perniagaan saya dan lain-lain lagi. Bukan maksudnya kita tidak payah bekerja atau berniaga. Bekerja atau berniaga juga adalah antara perintah-perintah Allah, dan kita laksanakannya kerana ia perintah Allah dan untuk melaksanakannya mengikut kehendak Allah. Dan jangan pula kerana pekerjaan dan perniagaan kita, kita meninggalkan perintah-perintah Allah yang lain.

Allah tidak janjikan kejayaan di dalam asbab seperti pekerjaan, perniagaan, kekuasaan, kekayaan atau kekuatan. Tetapi janji kejayaan Allah beri dalam melaksanakan perintah-perintah Allah. Para sahabat radiallahuanhum telah sampai ke tahap ini dan kita telah lihat bukti dalam kitab sejarah seperti dalam Hayatussahabah.

Tindakan yang perlu dari kita sekarang ini adalah memperbetulkan iman kita dengan buat usaha ke arah menaikkan dam memperbaharui iman kita di samping melaksanakan perintah-perintah Allah dan berterusan dengannya dengan keyakinan bahawa janji kejayaan dari Allah ada di dalam melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment