Sunday, April 12, 2009

USAHA NABI S.A.W

Segala usaha berpusat di masjid pada zaman Nabi s.a.w

Tidak ada nabi lagi akan diutuskan, tetapi kerja kenabian akan berterusan hingga berlakunya hari kiamat.
Siapa yang akan menyambung kerja dan usaha nabi s.a.w? Tak lain dan tak bukan semua manusia yang bergelar umat akhir zaman yang merupakan umat nabi s.a.w

Sifat-sifat ini perlu dibentuk dalam diri agar dapat menjalankan usaha nabi dengan sempurna
- Mengetahui ilmu berkenaan zat, kudrat dan sifat Allah s.w.t
- Yakin akan kudrat dan kekuasaan Allah, bukan pada bibir sahaja tetapi juga dalam hati dan zahir pada amalan
- Menjaga solat 5 waktu dengan berjemaah di tempat azan diazankan
- Mengutamakan hak orang lain lebih dari diri sendiri

Sifat-sifat ini tidak datang dengan sendiri, tetapi akan datang bila kita letakkan diri kita dalam suasana pengorbanan, dengan melapangkan masa keluar dari tempat kita bersama mereka yang menjalankan usaha nabi dan berdampingan dengan mereka yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup mereka dalam memikirkan dan melaksanakan usaha yang telah dijalankan oleh nabi dan para sahabatnya dahulu.

Antara sebab seseorang buat dan tinggal usaha ini mengikut keadaan masing-masing adalah kerana kita belum buat keputusan ini adalah kerja saya. Bekerja, berniaga, bertani dll adalah untuk menunaikan keperluan harian saya, tetapi usaha Nabi s.a.w adalah satu-satunya kerja saya.

Matlamat usaha adalah supaya agama dapat disempurnakan di dalam rumah-rumah dan penghuninya termasuk kaum wanita dan kanak-kanak, dan supaya agama akan disempurnakan di dalam semua rumah-rumah orang Islam bukan sahaja dalam sesuatu qariah, malah di seluruh alam.

Untuk melaksanakan usaha ini dengan baik, perlu ada hubungan yang baik dengan Allah, di samping menjaga hubungan sesama manusia.

Dengan buat usaha tempatan iman akan meningkat, tetapi kena buat dengan cara yang betul.

Apakah usaha yang perlu dilaksanakan di masjid (atau surau, musolla dsb) dalam sesuatu kawasan dengan kadar harian, mingguan dan bulanan:
1. Setiap hari ada orang yang berfikir dengan kerisauan bagaimana usaha dapat dijalankan di kawasan itu supaya mesej kepentingan agama dan usaha ke atasnya dapat disampaikan kepada setiap orang lelaki baligh di kawasan itu dan kepentingan menghidupkan amalan agama dapat sampai ke setiap rumah-rumah orang islam, dan dengan fikir alami bagaimana mesej yang sama akan dapat sampai ke seluruh mukabumi Allah ini.

2. Setiap hari ada orang yang memberi masa sekurang-kurangnya 10% dari masa setiap hari (lebih kurang 2½ jam) untuk berjumpa dengan penduduk Islam di kawasan tersebut dengan matlamat untuk menyampaikan maklumat #1 di atas.

3. Setiap hari ada majlis membacakan hadis dan peringatan dalam bentuk kelebihan dan kisah-kisah para sahabat radiallahuanhum (mereka yang merupakan manusia seperti kita hari ini yang bersama Nabi s.a.w, dan telah dijamin kejayaan di akhirat semasa berada di dunia ini lagi) yang di adakan di masjid (atau surau dll) dan di rumah-rumah (bersama kaum wanita dan kanak-kanak)

4. Setiap minggu ada dua usaha yang dibuat, satu di kawasan sendiri dan satu lagi di kawasan berhampiran. Usaha tersebut bermula dengan berkumpul di masjid (atau surau dll); diikuti dengan ziarah ke setiap rumah orang islam di kawasan itu (secara bergilir-gilir sehingga semua rumah dapat dikunjungi) untuk menghidupkan suasana berjumpa kerana Allah dan bercakap serta mendengar tentang kebesaran / kekuasaan / kehebatan Allah dan berita-berita tentang alam akhirat; dan berakhir dengan majlis fikir di masjid tentang pentingnya memberi masa untuk usaha nabi s.a.w.

5. Setiap bulan ada kumpulan dari kawasan tersebut untuk memberi masa berhijrah ke kawasan berdekatan yang lain untuk menghidupkan suasana #1 hingga #4 di atas, dengan matlamat utama sebagai latihan apabila pulang ke tempat asal, di samping menghidupkan suasana yang sama di tempat-tempat lain.

Apakah syarat-syarat dalam menjalankan usaha ini dengan sempurna dan betul:
- Sentiasa dengan niat belajar, kerana yang pakar dalam usaha ini adalah Nabi s.a.w dan mereka yang telah bersama baginda iaitu para sahabat. Dengan niat belajar, Allah akan menunjukkan kita jalan yang betul dalam melaksanakan tanggung-jawab ini

- Sentiasa buat usaha dengan kasih-sayang dan hormat-menghormati dengan mereka yang memberi masa untuk usaha ini, kerana usaha ini bukan ada gaji, elaun, komisyen atau ganjaran material, tetapi adalah semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah dan mencari keredhaanNya.

- Patuh kepada orang bertanggung-jawab (yang dilantik melalui mesyuarat cara nabi s.a.w) untuk mengendalikan ehwal jemaah pada masa tertentu

- Melibatkan semua penduduk kawasan yang turut bersolat jemaah di masjid (atau surau dll), kerana ini bukan tugas satu kelompok sahaja, tetapi semua umat Nabi s.a.w

- Buat dengan penuh tawajjuh kepada Allah, bukan dengan yakin bahawa dengan usaha kita manusia akan dekat dengan Allah. Hidayat adalah hak mutlak Allah s.w.t dan hasil dari usaha kita hanya Dia yang akan menentukan. Janji hidayat dengan usaha atas agama adalah pasti, tetapi siapa yang mendapat hidayat melalui usaha kita adalah ketentuan Allah semata-mata. Siang hari usaha bersungguh-sungguh seolah-olah kita yang menentukan siapa yang akan mendapat hidayat, tetapi malam hari perlu bangun mengadap dan merayu kepada Allah s.w.t supaya Dia beri hidayat kepada semua orang yang kita jumpa dan usahakan pada hari itu.

- Perlu mengikut tunjuk-ajar dan nasihat mereka yang telah bertahun-tahun mengabdikan diri untuk kerja ini tanpa penat-lelah dan mendapat habuan keduniaan, semata-mata mencari keredhaan Allah, dari masa ke semasa.

- Sentiasa buat usaha dengan rasa syukur dan rendah-diri bahawa pilihan untuk membuat usaha ini adalah satu nikmat dari Allah, bukan kerana kebolehan atau kehebatan diri sendiri, dan sentiasa memohon supaya Dia mengekalkan kita dalam melaksanakannya hingga ke nafas yang terakhir.

- Tidak mengabaikan amalan persendirian seperti zikir harian, solat sunat dan bacaan Quran kerana ia mempengaruhi hubungan kita dengan Allah swt.

- Menangguhkan urusan persendirian (diri, keluarga, keperluan) apabila tiba masa untuk melaksanakan usaha ini, kerana tanggung-jawab yang Allah beri ini jauh lebih penting dan utama dari segala urusan berkaitan hal keduniaan kita.

Sebagaimana kita perlu jalankan usaha sebegini, ada kalanya terdapat sekumpulan mereka dari tempat, negeri atau negara lain yang berkunjung ke masjid kita (atau surau dll), kita perlu memberi masa bersama mereka dan mengambil-tahu hal-ehwal mereka supaya kerja ini dapat dilakukan dengan sempurna bersama mereka.

No comments:

Post a Comment